TERATAK RAHMAH,JALAN MATA AYER,PERLIS
22 FEBRUARI 2020
Program ini dicetuskan atas keinsafan dan kesedaran bahawa anak-anak yatim ini juga merupakan sebahagian daripada sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.Mereka juga merupakan waris yang akan menggerakkan negara pada masa depan.Selain daripada itu mereka juga merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang tidak mempunyai sebuah keluarga yang lengkap.Program yang dianjurkan oleh pelajar Diploma UniMAP dari kursus Kokurikulum Bulan Sabit Merah Malaysia ini diadakan untuk memenuhi 7 prinsip Bulan Sabit Merah Malaysia iaitu Kemanusiaan,Kesaksamaan,Berkecuali,Kebebasan,Sukarelawan,Bersatu dan Kesejagatan.Seramai 80 orang pelajar yang terlibat dalam program ini dan diiringi oleh seorang jurulatih iaitu Puan Noormiza Binti Che Din.Seramai 50 orang anak-anak yatim di Teratak Rahmah telah disantuni dengan beberapa aktiviti yang menarik.
Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah gotong-royong membersihkan kawasan sekitar,acara sukaneka dan acara Bantu Mula.Penerangan dari ahli-ahli BSMM tentang Bantu Mula adalah terdiri daripada cara-cara menyelamatkan nyawa,mengelak kecederaan lebih serius dan cara medapatkan bantuan awal perubatan.Peralatan perubatan yang mudah di dalam First Aid Kit diperkenalkan kepada anak-anak yatim Teratak Rahmah.Demo balutan luka pada bahagian tubuh juga ditunjukkan.
Program ini dapat membina semangat dan kerjasama yang erat antara ahli-ahli BSMM dan anak-anak yatim serta dapat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan sahsiah.
SABTU,22 FEBRUARI 2020
Ahli Briged Bomba UniMAP (Diploma) telah mengadakan Program Eksplorasi X-Tream v2.0 pada 22 Februari 2020 yang lalu bertempat di Balai Bomba Arau,Perlis.Seramai 85 orang pelajar terlibat dalam program itu.Program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi itu berakhir pada pkl 2.30 petang.
Antara aktiviti X-Tream yang dijalankan adalah Repelling,Fire Fighter Rescue,Fire Fighter Challenge dan Kawad Formasi.Peserta dipecahkan kepada 12 kumpulan kecil yang terdiri daripada 7 orang setiap kumpulan.Aktiviti ini dikendalikan dibawah pengawasan jurulatih briged bomba iaitu Tuan Muhammad Syukri Bin Madzuki.Melalui aktiviti ini,para peserta bukan sahaja dapat mempelajari cara-cara penggunaan tali,penurunan tali dengan menggunakan peralatan-peralatan khas,cara menurun yang curam malahan peserta juga akan diajar bagaimana menjaga dan menyimpan tali tersebut.
Dengan adanya program sebegini pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari dalam keadaan getir dan dapat melaksanakan segala arahan yang diberikan dengan semangat kerjasama antara individu.
WANZA CAMP,BESERI,PERLIS.
Pada 15 hingga 16 Februari 2020 seramai 68 orang pelajar yang terdiri daripada ahli pancaragam UniMAP telah mengadakan Kem Pemantapan di Wanza Camp,Beseri,Perlis.Pelajar telah diiringi oleh seorang jurulatih yang berpengalaman.
Peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 6 hingga 7 orang.Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya ialah sesi Ice Breaking,aktiviti memasak,memasang khemah,kawad kaki sambil bermain alat muzik dan berkayak.Pada sebelah malam pula acara yang dijalankan adalah acara kebudayaan.Selain itu kem pemantapan ini bertujuan untuk meningkatkan ketahanan mental dan fizikal para pelajar.Pelaksanaan aktiviti ini juga dapat mencungkil bakat dan kreativiti para peserta.
Pelaksanaan program ini telah dijalankan dengan cekap,kemas dan teratur serta dapat memberikan peluang pelajar berinteraksi dan berkomunikasi serta menambah kenalan sesama ahli pancaragam yang terlibat.
Pada 15 Februari 2020 yang lalu Kumpulan Latihan Pengakap Kelana (KLKM Diploma) UniMAP telah mengadakan Kursus Kepimpinan dalam Pengurusan Acara.Acara yang dipertandingkan adalah futsal dan badminton.
Seramai 82 orang pelajar telah terlibat dalam pengurusan acara ini.Acara ini telah dijalankan di R7 Futsal,Mata Ayer,Perlis pada hari Sabtu jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.Peserta diagihkan kepada krew kecil bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti.Peserta diberi penerangan oleh jurulatih tentang syarat-syarat pertandingan dan sebagainya.Setelah selesai aktiviti,pelajar perlu membentangkan laporan aktiviti yang telah dilaksanakan untuk penilaian pemarkahan.
Kursus ini juga membantu para pelajar untuk menguasai pelbagai kemahiran dan kepimpinan pengakap khususnya dalam Skim Latihan Pengakap Kelana.Secara tidak langsung para pelajar dapat menerapkan nilai-nilai kepimpinan sebenar dan dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam pelbagai acara termasuk bersukan.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
YBhg. Datuk/Dato'/Prof./Tuan/Puan,
Butiran lanjut mengenai Klinik Bola Sepak adalah seperti berikut :
Tarikh : 15hb – 16hb Februari 2020 (Sabtu dan Ahad)
Masa : 8.30 pagi – 10.30 pagi
Tempat : Padang Bola Sepak Kampus Kubang Gajah, Universiti Malaysia Perlis
Yuran : RM 30.00 (makan dan sijil penyertaan)
Jesteru, kami ingin mempelawa anak-anak Tuan/Puan untuk menyertai Klinik Bola Sepak ini.
Borang pendaftaran : https://forms.gle/A65cRVh2CZ99AJir8
Sebarang maklumat lanjut, pihak tuan boleh menghubungi En. Mohamad Shabudin (012-561 6012) atau En. Sazali (012-434 6494).
Sekian, terima kasih.
PUSAT KOKURIKULUM UniMAP
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Kampus Kubang Gajah,
02600 Arau
PERLIS
TEL (O) : 04-9798229 | FAX: 04-9798227
KANGAR,18 JANUARI 2020
Pelajar Pandu Puteri Diploma UniMAP telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat yang bertemakan "You're Special" kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh Cawangan Negeri Perlis dengan kerjasama penduduk Taman Sembilang.Seramai 45 orang pelajar Pandu Puteri yang diiringi seorang jurulatih telah mengatur beberapa aktiviti untuk anak-anak yatim Rumah Kebajikan Mak Teh.
Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 8-10 orang.Terdapat 4 stesen untuk setiap aktiviti yang dijalankan antaranya ialah Ice breaking,Sukaneka Permainan Tradisional,Gotong Royong dan Slot Motivasi bertajuk 'Muhasabah'.Para peserta menunjukkan minat dan memberi kerjasama yang baik.Selepas berhenti rehat acara penyampaian hadiah dijalankan.Pelbagai hadiah menarik dan cenderahati telah diberikan untuk setiap aktiviti yang dijalankan beserta sumbangan wang tunai daripada kutipan penduduk Taman Sembilang.
Program Khidmat Masyarakat ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif dengan jayanya.Program sebegini telah meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran kepada semua peringkat yang terlibat dan sekaligus mengharumkan nama universiti dalam melahirkan mahasiswi yang mempunyai nilai kasih sayang terhadap golongan yang kurang bernasib baik,semangat berpasukan yang tinggi,pendedahan mengurus dan merangka serta melaksanakan projek dengan sempurna dan jayanya serta dapat berbakti kepada masyarakat dengan memahami peranan serta tanggungjawab masing -masing.
Sabtu (04 Januari 2020)
Seramai 82 orang pelajar Diploma dari Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia (KLKM) telah membuat pengembaraan "Road To Penang" bagi melengkapkan Skim Latihan Pengakap Kelana dalam Kursus Kepimpinan (Pengurusan Acara & Pengembaraan).
Pelajar telah diagihkan kepada krew kecil bagi memudahkan perlaksanaan aktiviti.Pengembaraan bermula dengan menaiki keretapi dari stesen Keretapi Arau,Perlis dan seterusnya menaiki feri di Butterworth untuk sampai ke destinasi (Armenian Street,Pulau Pinang).
Skim Latihan sebegini membantu para pelajar untuk menguasai pelbagai kemahiran,perkhidmatan dan kepimpinan pengakap kelana.Pengembaraan ini secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas serta mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang kuat.Pelajar juga dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru dalam perkhidmatan dan kepimpinan pengakap kelana.
Pada 19 dan 20 OKTOBER 2019 yang lalu bertempat di Dewan Serbaguna,Kompleks Kementerian Dalam Negeri Perlis Pasukan Relasis UniMAP telah mengadakan Kursus Kepimpinan Dan Pengurusan Rela (KKPR) SIRI 3/2019.
Kursus tersebut telah dihadiri oleh 69 orang pelajar daripada semua peringkat kursus yang ditawarkan pada semester ini.Terdapat beberapa slot yang diketengahkan pada siri ini termasuklah Kepimpinan Dalam Organisasi , Perundangan Rela , Musketari Senjata Api Rela , dan beberapa latihan yang diterapkan lagi.
Kursus ini memberi peluang kepada pelajar Relasis untuk mengetengahkan lagi ilmu yang di pelajari.Diharap dengan adanya kursus-kursus sebegini pasukan Relasis UniMAP akan bertambah maju di masa akan datang.
Pada 05 November 2019 yang lalu, Pusat Kokurikulum menerima Lawatan Muhibbah dari Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan, Politeknik Seberang Perai. Lawatan ini disertai 11 kakitangan JSKK, Politeknik Seberang Perai diketuai oleh Dr. Mariappen.
Tujuan lawatan ini diadakan ialah bagi berkongsi dan bertukar pandangan dari segi pengurusan, prasarana, penganjuran aktiviti pelajar dan pengendalian kursus kokurikulum yang dijalankan di UniMAP.
Pada 16 November 2019 yang lalu, Pusat Kokurikulum UniMAP telah berjaya menganjurkan Karnival Hari Kokurikulum 2019 besar-besaran dengan penglibatan seramai hampir 3,000 pelajar UniMAP. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya :
i. Pertandingan Terompah Gergasi
ii. Pertandingan Tarik Tali 4 Penjuru
iii. Pertandingan Sepakan Penalti
iv. 12 Permainan Tradisional
v. Pertandingan Kawad Lintas Hormat
vi. Pertandingan Menghias Khemah
vii. Pameran Badan Beruniform
viii. Pertandingan Mini Putting Golf
ix. Pertandingan Karaoke
x. Busking
xi. Derma Darah
xii. Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri
xiii. Cabutan Bertuah
Pertandingan yang bertemakan “Love & Happiness with Co-curriculum” ini berjaya melahirkan sikap kepemimpinan, kesukarelawanan, kebudayaan, inovasi, dan pelbagai sikap positif dalam diri pelajar dan staf.
Keputusan keseluruhan bagi Karnival Hari Kokurikulum 2019 adalah seperti berikut :
Johan : Kor SUKSIS
Naib Johan : St. John Ambulans Malaysia
Ketiga : Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)
Tahniah diucapkan!
Semoga Karnival ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Pada 11 hingga 13 April 2019, kursus badan beruniform Kor Siskor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan Programme Siskor De'Tour Interaction bersama pelajar Kor Siskor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Terengganu bertempat di Kampung Guar Nangka, Mata Ayer, Perlis. Program ini bertujuan untuk menerapkan asas kemahiran insaniah ke dalam jiwa siswa/siswi Kor Siskor serta merapatkan silaturrahim antara generasi muda dengan generasi yang lebih tua. Antara aktiviti yang diadakan ialah aktiviti gotong-royong mengecat tiang khemah, penyembelihan lembu dan sukaneka bersama penduduk kampung.
ARAU, PERLIS - Seramai 42 orang pelajar yang mendaftar kursus kokurikulum Khidmat Masyarakat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan Program Gotong-Royong pada 16 Mac & 13 April 2019 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Arau, Perlis. Antara aktiviti yang telah dilakukan ialah mengecat dinding sekolah, membersih dan menceriakan kawasan sekolah. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat jati diri dalam diri pelajar serta dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar universiti dan pihak sekolah. Program ini dibimbing oleh jurulatih yang dilantik iaitu Puan Normawati Ishak.
Kangar, 10 Mac – Dalam usaha memberi pendedahan dan penghayatan beberapa aspek kemahiran insaniah termasuk mencintai alam sekitar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan kursus ko-kurikulum Manusia dan Kelestarian Alam kepada pelajar universiti itu.
Kursus ini merupakan yang pertama ditawarkan di UniMAP dengan diselaraskan oleh Penyelaras Kampus Lestari, Dr Siti Khadijah Zaaba serta disertai 40 pelajar yang berdaftar kursus berkenaan.
Taklimat kursus itu diberikan oleh Dr Siti Khadijah dan dimulakan oleh Ts Dr Irnis Azura Zakarya dengan menyampaikan kuliah berkaitan kompos, termasuk teknik yang digunakan bagi menghasilkan kompos daripada sisa makanan.
Menurut Dr Siti Khadijah, pelajar bukan sahaja diberi penerangan malah turut dibawa bagi menghasilkan baja kompos menggunakan Sistem Kompos Mudah (SKM) yang dilaksanakan berhampiran Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).
“Lebih menarik, seramai tujuh pensyarah kanan dari pelbagai pusat-pusat pengajian UniMAP secara sukarela bekerjasama di dalam melaksanakan aktiviti ko-kurikulum itu.
“Pelajar dibahagikan kepada tujuh kumpulan bagi menjalankan projek yang telah dirancang oleh setiap tujuh pensyarah kanan berkenaan ,” katanya.
Antara pensyarah kanan yang terlibat dalam setiap aktiviti yang dirancang ialah Dr Umi Fazara Md Ali, Dr Shuhaida Yahud, Dr Norshah Aizat Shuaib, Dr Ragunathan Santiagoo, Dr Sara Tasina Yusof serta Dr Irnis Azura dan Dr Siti Khadijah sendiri.
Ujar Dr Siti Khadijah, selain kompos aktiviti yang dijalankan ialah menanam pokok, plogging, kitar semula, hidroponik, akuaponik dan carbon footprint.
“Selain aspek kemahiran insaniah kecintaan alam sekitar, aktiviti-aktiviti ini juga dapat memberi pendedahan mengenai kepimpinan, kerjasama, disiplin selain penyaluran tindakan yang berstruktur.
“Kursus ini juga memperbanyakkan platform kerjasama antara universiti lain samada di dalam atau luar negara melalui aktiviti kokurikulum,” katanya.
https-www-unimap-edu-my-index-php-my-berita-malay-1644-unimap-jaga-alam-menerusi-kursus-ko-kurikulum
SINTOK, KEDAH. Pelajar Badan Beruniform Kumpulan Kelana Siswa Malaysia (KLKM), DZW212, telah mengadakan Kem Kemahiran KLKM pada 15 hingga 17 Februari 2019 bertempat di Kem UUM, Sintok, Kedah. Program ini telah dihadiri seramai 46 orang pelajar KLKM. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini padat dengan aktiviti menarik seperti aktiviti berkumpulan, aktiviti membaca peta dan kompas serta ikhtiar hidup. Program perkhemahan ini merupakan satu program yang bertujuan untuk membolehkan pelajar mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari secara teori dibawah bimbinganjurulatih yang dilantik iaitu, Tuan Syed Mukhalis Syed Azizan.