UniMAP Pertahan Kejuaraan SUKUM Kali Ke-10 Berturut-Turut Featured

 

Tanjung Malim, 6 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM 2017) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Pada kejohanan yang bermula 29 Julai lalu itu, kontinjen UniMAP yang mempertahankan gelaran juara keseluruhan semenjak tahun 2008 itu meraih 21 pingat emas, 12 pingat perak dan 7 pingat gangsa mengatasi pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dan tuan rumah, UPSI di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata, pasukan olahraga terus cemerlang membantu kontinjen mencatatkan kejuaraan apabila menyumbangkan 15 pingat emas sekaligus membolehkan UniMAP mengekalkan status kuasa besar olahraga universiti-universiti Malaysia untuk kali ke-10 berturut-turut semenjak tahun 2008.

Menurut Mohd. Fo’ad yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, enam lagi pingat emas UniMAP disumbangkan melalui acara petanque yang berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara individu dan trio; tenpin boling lelaki; bola tampar lelaki; futsal wanita dan acara berbasikal VIP yang masing-masing menyumbangkan satu pingat emas.

“Untuk bergelar juara bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi untuk mengekalkan kejuaraan untuk tempoh sedekad ini sememangnya memerlukan komitmen dan kerjasama berpasukan yang jitu dari semua pihak termasuk pengurusan universiti, pusat sukan dan atlit secara kesleuruhannya.

“Alhamdulillah, dengan komitmen berterusan daripada pengurusan universiti, UniMAP terus menguasai pentas SUKUM untuk kali kesepuluh berturut-turut,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SUKUM 2017 disertai oleh 21 pasukan yang terdiri daripada semua Universiti Awam (UA) di Malaysia serta satu pasukan dari Kementerian Pendidikan Tinggi dengan 21 acara sukan dipertandingkan.

Acara olahraga mempertaruhkan pingat emas tertinggi iaitu 44 daripada keseluruhan 111 pingat yang ditawarkan. Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Shatar Shabran.

Menurut Mohd. Fo’ad, sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan oleh tuan rumah, UPSI pada tahun ini membantu  UniMAP mencapai misi juara keseluruhan SUKUM untuk kali ke-10 tahun ini.

Ujar beliau, sebelum ini penentuan juara adalah berdasarkan kejuaraan mengikut acara yang dipertandingkan tetapi pada tahun ini, UPSI mencipta kelainan apabila menggunapakai kedudukan jumlah pingat sebagai penentuan kejuaraan.

Bagi acara olahraga, Mohd. Fo’ad berkata, seperti diramalkan, UniMAP menggungguli acara pecut 100 dan 200 meter apabila meraih empat pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita senior menerusi atlitnya Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md. Hussin selain turut meraih emas bagi acara 100 meter wanita veteran menerusi Dr. Shuhaida Yahud.

Mohd. Helmi ujar beliau turut membantu pasukan kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter lelaki senior menyumbangkan dua lagi pingat emas buat kontinjen UniMAP yang turut dibarisi tiga bekas atlit elit negara, Mohd. Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

“Turut menyumbang pingat emas buat kontinjen UniMAP ialah kuartet 4x100 meter wanita senior, atlit 800 dan 1,500 meter wanita senior, 400 meter lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior dan lompat jauh lelaki senior,” katanya.

More in this category: Online Course Pre-Registration »